Tuesday, 3 January 2012

Esther Ada Kualiti Istimewa


MINGGU pertama program realiti tv, One In A Million musim ketiga (OIAM3) menyaksikan finalis dari Kota Kinabalu, Sabah, Elizabeth Applunius Chin atau Esther, 21, dipilih sebagai penerima 'imuniti' pertama iaitu terselamat daripada menerima undian khidmat pesanan ringkas (SMS) keluar pada minggu hadapan.

Keputusan itu diumumkan juri tetap, Syafinaz Selamat dalam program yang disiarkan secara langsung menerusi 8TV jam 9.30 malam dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, Jumaat lalu.

Syafinaz dan Paul Moss juga sepakat memilih Esther kerana dia menampilkan persembahan terbaik ketika menyampaikan lagu Better In Time dendangan Leona Lewis pada malam itu.

Ketika ditemui selepas persembahan berakhir, Esther berkata, dia tidak sangka terpilih memenangi imuniti itu kerana persembahannya tidak sehebat mana berbanding finalis lain.

"Semua finalis juga menampilkan persembahan yang bagus dan tidak kurang hebatnya. Apa yang penting bagi saya ialah orang boleh nampak impak persembahan saya.

"Selama tiga tahun saya menanti untuk menyertai program realiti ini dan baru sekarang impian itu kesampaian. Saya juga sanggup menghadiri uji bakat semata-mata untuk berada dan menjadi sebahagian peserta dalam program ini," katanya.

Moss berkata, pemilihan Esther kerana dia berjaya menampilkan persembahan paling maksimum pada malam itu berbanding finalis lain.

"Daripada 12 individu yang membuat persembahan, ternyata Esther menyampaikan sesuatu yang 'lebih' kepada penonton pada malam ini.

"Dia juga mempunyai kualiti istimewa yang dicari dalam pertandingan ini. Saya juga dapat merasai apa yang disampaikannya dalam persembahannya," katanya. Syafinaz juga sependapat dengan pandangan Moss mengenai pemilihan Esther itu.

"Saya juga menyukai suaranya kerana dia begitu komited pada persembahan. Dia juga mempunyai gaya dan bakat serta boleh pergi jauh dalam bidang nyanyian pada masa depan," katanya.

Selain Esther, Norafizah Mohd Yasin atau Pija, 20, yang menyampaikan Lagu Untukmu dendangan kumpulan Meet Uncle Hussain juga antara peserta yang menampilkan persembahan terbaik pada malam itu.

Malah, persembahannya juga mendapat pujian dari Moss dan Syafinaz.

"Selain mempunyai suara yang bagus, persembahan Pija juga bertenaga dan sangat meyakinkan penonton pada malam itu. Cuma Pija tidak boleh terlalu teruja hingga menjejaskan sedikit persembahannya," katanya.

Syafinaz berkata, ada finalis yang tidak menampilkan persembahan seperti diharapkan pada minggu pertama itu.

"Hanya 90 peratus finalis yang menampilkan persembahan terbaik mereka.

Antara kelemahan ketara ialah ada finalis yang gementar dan takut ketika membuat persembahan," katanya.

Pija puka berkata, dia juga sudah berusaha memberikan persembahan terbaik pada malam itu.

"Saya akan lebih fokus dan yakin pada persembahan minggu depan. Saya berharap tidak ada penyingkiran lagi pada minggu hadapan," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif 8TV, Ahmad Izham Omar berkata, imuniti yang popular dalam rancangan Survivor diperkenalkan bagi meningkatkan elemen drama program berkenaan.

"Kami sudah merancang untuk memperkenalkan imuniti ini sejak tahun lalu cuma baru sekarang ia kesampaian. Kami tampilkan imuniti sebagai kelainan untuk memberitahu penonton finalis bagaimana yang dicari pihak juri untuk membawa pulang wang tunai RM1 juta," katanya.

Finalis lain yang turut membuat persembahan ialah Amylea Azizan atau Amylea, 22, (Aku Skandal/Hujan); Anith Aqilah Sulaiman Lim atau Anith, 17, (That's What You Get/Paramore); Nasharul Aweera Noryissham atau Aweera, 18, (Aku Dah Bosan/Amy Search); Nurhidayu Md Tekhary atau Ayu, 20, (Matahariku/Agnes Monica).

Selain itu, Fify Emielia Shazlin Ahmad Murshadi atau Fify, 19, (If I Were A Boy/Beyonce); Zulqarnain Jaafar (Nine), 27, (Cinta Ini Membunuhku/D'Masiv); Rehana Mohd Yunus atau Han, 22, (Menjaga Hati/Yovie Nuno); Muhammad Ridzuan Sharifudin atau Rizu, 19, (Juwita Citra Terindah/M Nasir); Simon, 25, (Home/Daughtry) dan Shah Indrawan Ismail atau Tomok, 25, (Cuba/Faizal Tahir).

Program realiti yang menampilkan gandingan pengacara Awal Ashaari dan Marion Counter ini menemui penonton setiap Jumaat jam 9.30 malam menerusi saluran 8TV.



Sumber: http://www.pekanrabu.biz/t1175p450-berita-dunia-hiburan-part-6

No comments:

Post a Comment