
PENTAS Centre Atrium 1Borneo, sememangnya sengit dengan persembahan hebat lapan peserta yang berentap dalam pertandingan akhir Anugerah Juara Carta Lagu Artis Sabah Musim ke-4, kelmarin.
Namun nasib ‘Selalu’ menyebelahi wanita berbintang Taurus ini, Esther Applunius atau lebih mesra dengan panggilan Esther.
Tampil anggun dengan warna unggu muda, penyanyi kelahiran Kota Kinabalu ini nyata terkejut tatkala namanya diumumkan sebagai Juara Lagu Artis Sabah.
Selain itu, Esther bukan saja membawa pulang wang Tunai RM 3, 000 dan piala Juara Lagu Artis Sabah tetapi juga dinobatkan sebagai pemenang Vokal terbaik yang membawa pulang wang Tunai sejumlah RM1, 000.
“Memang Esther terkejut sebab semua peserta pun memang hebat dan matang dalam arena muzik ini. Esther sudah lama tidak bertanding dihadapan juri professional dan Esther tidak tahu nak kata apa lagi, selain daripada ucapan berbanyak terima kasih kepada semua pihak yang telah menyokong Esther selama ini,” ujar bekas finalis One In A Million (OIAM) 3.
“Lagu ini dari album kedua Esther dan merupakan percubaan pertama Esther dalam penulisan lirik dan penciptaan lagu. Saya sangat bersyukur kerana percubaan ini berjaya dan kepada semua masyarakat Sabah dan para peminat, teruskanlah menyokong Esther,” tambahnya lagi yang kini dalam perancangan untuk melebarkan sayapnya ke industri Muzik Negara.
Manakala bagi Momain Blues yang turut merangkul dua anugerah iaitu Penyanyi Paling Popular dan Lagu Paling Diminati Dalam Kedudukan Carta Mingguan, keempat-empat jejaka ini hanya mampu bersyukur dengan pengiktirafan yang diberikan dan berharap dapat mengukuhkan lagi tapak mereka dalam arena muzik tempatan.
Bagi Dayang Noraini yang memenangi Persembahan Terbaik, beliau mengakui gembira dengan kemenangan yang diperolehi.
“Dayang happy kerana usaha kami berlatih menari selama beberapa hari lepas membuahkan hasil dan bagi Dayang, kami telah lakukan yang terbaik dan terima kasih kepada para peminant yang telah mengundi kami dan juga kepada juri yang menobatkan persembahan Dayang menerusi lagu Kelawar O’ Kelawar sebagai persembahan terbaik,” jelas wanita bertubuh genit ini.
Pertandingan yang berobjektifkan untuk menggalakkan penciptaan lagu-lagu Melayu di kalangan seni suara dan seni muzik tempatan Sabah turut dihiburkan dengan persembahan mantap bekas Juara Lagu Artis Sabah Musim ke-3, Felix Agus dan artis-artis jemputan yang lain.
Sumber: http://newsabahtimes.com.my/nstweb/fullstory/47313
No comments:
Post a Comment